Thursday, July 07, 2011

makroekomnomi bab 5


Objektif Pembelajaran Bab 5

  1. Mendefinisikan pengangguran, menjelaskan jenis, sebab, kesan, dan langkah mengatasinya.
  2. Menerangkan dan menghitung guna tenaga, tenaga buruh, dan kadar pengangguran di Malaysia.
  3. Mendefinisikan inflasi, menjelaskan jenis, kesan, dan cara mengatasinya.
  4. Menerangkan indeks harga di Malaysia dan cara menghitung kadar inflasi Malaysia.
  5. Menerangkan kesan dasar fiskal dengan menggunakan pendekatan Keynesian dan AD-AS.
  6. Menghuraikan bagaimana dasar kewangan digunakan untuk mengatasi masalah makroekonomi.
  7. Menerangkan belanjawan negara Malaysia dan data belanjawan tersebut.
  8. Menerangkan hutang negara Malaysia dari segi sumber, jumlah semasa dan arah aliran.

    Jenis-Jenis Pengangguran

    Pengangguran didefinisikan sebagai satu keadaan apabila individu-individu yang boleh bekerja dan ingin bekerja pada satu tingkat upah tertentu gagal mendapat sebarang pekerjaan.

    Pengangguran dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti pengangguran bermusim, pengangguran tidak ketara dan pengangguran kitaran.

    Pengangguran Bermusim

    Penganguran bermusim hanya berlaku pada masa-masa tertentu sahaja dan cenderung wujud dalam sektor utama seperti sektor pertanian dan sektor perikanan.

    Misalnya, semasa musim tengkujuh, para nelayan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tidak dapat keluar ke laut untuk menangkap ikan. Oleh itu, mereka terpaksa menganggur sehingga musim tengkujuh berakhir.

    Pengangguran Tidak Ketara

    Pengangguran tidak ketara juga dikenali sebagai pengangguran tersembunnyi. Pengangguran ini biasanya berlaku dalam sektor pertanian.

    Pengangguran tidak ketara berlaku apabila bilangan pekerja yang diambil bekerja dalam sesuatu sektor melebihi bilangan pekerja yang sebenarnya diperlukan. Lebihan pekerja yang ada tidak menyumbang kepada tingkat pengeluaran. Dalam erti kata lain, lebihan pekerja ini sebenarnya mempunyai daya pengeluaran sut sama dengan kosong.

    Pengangguran Kitaran

    Pengangguran kitaran wujud disebabkan perubahan yang berlaku dalam sesuatu kitaran ekonomi. Sesebuah ekonomi mungkin melambung pada mulanya, meleset dan kemudiannya melambung semual. Ekonomi mengalami kemelesetan apabila perbelanjaan agregat jatuh. Kejatuhan perbelanjaan agregat menyebabkan pengusaha-pengusaha mengurangkan permintaan terhadap tenaga buruh akibat kemerosotan pengeluaran dalam ekonomi. Pengurangan permintaan terhadap tenaga buruh secara berterusan akan menyebabkan pengangguran berlaku dalam ekonomi.

    Penstabil Automatik

    Penstabil automatik merupakan beberapa bentuk perbelanjaan dan pendapatan kerajaan yang digunakan untuk mengurangkan turun naik aktiviti ekonomi negara. Semasa kemelesetan ekonomi, alat penstabil automatik akan digunakan untuk mengurangkan kadar kemerosotan ekonomi. Sebaliknya, semasa pertumbuhan ekonomi, alat penstabil automatik akan digunakan untuk melambatkan perkembangan ekonomi.

    Misalnya, semasa pertumbuhan ekonomi, cukai pendapatan progresif akan dikenakan oleh kerajaan akan mengurangkan pendapatan boleh guna penduduk. Pengurangan pendapatan boleh guna mengurangkan penggunaan dan perbelanjaan agregat dalam ekonomi. Kesannya, kadar pertumbuhan ekonomi akan menjadi perlahan.

    Cukai Progresif

    Definisi
    Cukai progresif ialah kadar cukai yang meningkat apabila pendapatan negara meningkat.

    Cukai Progresif Sebagai Penstabil Automatik
    Cukai progresif dapat menstabilkan ekonomi kerana ia merupakan penstabil automatik.

    Apabila pendapatan meningkat, hasil cukai yang meningkat akan memperlahankan perkembangan ekonomi.

    Sebaliknya, apabila pendapatan berkurangan, hasil cukai yang merosot akan memperlahankan penguncupan ekonomi yang lebih teruk.

    Cukai Regresif

    Definisi
    Cukai regresif ialah kadar cukai yang menurun apabila pendapatan negara meningkat.

    Cukai Regresif Bukan Penstabil Automatik
    Cukai regresif tidak dapat menstabilkan ekonomi.

    Sebaliknya, cukai regresif menyebabkan kemerosotan ekonomi yang lebih teruk dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dalam keadaan ekonomi melambung.

    Dasa Fiskal Budi Bicara

    Dasa Fiskal Budi Bicara ialah dasar yang mengubah cukai dan perbelanjaan kerajaan untuk mempengaruhi kegiatan ekonomi negara. Dasar ini dijalankan untuk mengatasi masalah inflasi dan deflasi dalam ekonomi.

    Misalnya, semasa inflasi, kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan menambahkan kadar cukai untuk mengurangkan perbelanjaan agregat dalam ekonomi.

    Perbelanjaan Mengurus

    Perbelanjaan mengurus ialah perbelanjaan semasa kerajaan atau perbelanjaan berulang kerajaan bagi membiayai pengurusan dan pentadbiran negara.

    Ini termasuk perbelanjaan untuk gaji (emolumen) kakitangan awam, bayaran khidmat hutang, pencen dan ganjaran, pemberian subsidi kepada pengeluar dan pengguna, dan pemberian dan serahan kepada Kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun.

    Perbelanjaan mengurus kerajaan tidak bergantung pada tingkat pendapatan negara. Walaupun pendapatan negara meningkat atau merosot, perbelanjaan mengurus kerajaan masih tetap sama.

    Perbelanjaan Pembangunan

    Perbelanjaan pembangunan ialah perbelanjaan yang dilibatkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.

    Perbelanjaan pembangunan meliputi perbelanjaan membina sekolah, lapangan terbang, dan menyediakan infrastruktur.

    Biasanya, tingkat perbelanjaan pembangunan kerajaan bergantung pada keadaan ekonomi negara. Apabila ekonomi mengalami kemelesetan, kerajaan akan menambahkan jumlah perbelanjaan pembangunan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

    Terangkan tiga langkah bagaimana dasar kewangan dapat mengatasi masalah inflasi dalam sesebuah ekonomi---[6]

    Langkah-langkah dasar kewangan untuk mengatasi masalah inflasi adalah dengan mengurangkan penawaran wang dan menaikkan kadar bunga di pasaran. Tiga daripadanya ialah:

    Menaikkan nisbah rizab berkanun
    Semasa inflasi, bank pusat akan menaikkan nisbah rizab berkanun terhadap simpanan bank perdagangan di bank pusat. Ini menyebabkan keupayaan bank perdagangan untuk memberi pinjaman berkurang. Kuasa beli masyarakat akan berkurang dan permintaan agregat masyarakat turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

    Menaikkan kadar bank atau kadar diskaun
    Semasa inflasi, bank pusat akan menaikkan kadar bank terhadap pinjaman yang diberikan kepada bank perdagangan. Apabila bank pusat menaikkan kadar bank, ini akan menyebabkan bank perdagangan menaikkan kadar bunga terhadap pinjaman orang ramai. Kadar bunga yang tinggi menyebabkan kos meminjam meningkat dan pinjaman akan berkurang. Perbelanjaan isi rumah turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

    Menjual surat jaminan kerajaan
    Semasa inflasi, bank pusat akan menjual surat jaminan kerajaan kepada bank perdagangan dan orang ramai. Ini akan menyebabkan penawaran wang berkurang dalam masyarakat. Kuasa beli masyarakat akan berkurang dan permintaan agregat masyarakat turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

    Terangkan Tiga Cara Bagaimana Dasar Kewangan Dapat Mengatasi Masalah Pengangguran………[6]

    Tiga cara bagaimana dasar kewangan dapat mengatasi masalah pengangguran ialah:

    Menurunkan nisbah rizab berkanun
    Semasa pengangguran, bank pusat akan menurunkan nisbah rizab berkanun terhadap simpanan yang dibuat oleh bank perdagangan. Ini akan menyebabkan keupayaan bank untuk memberi pinjaman meningkat. Kuasa beli masyarakat meningkat dan peluang pekerjaan turut meningkat untuk memenuhi permintaan agregat masyarakat. Maka, pengangguran akan berkurang.

    Menurunkan kadar bank atau kadar diskaun
    Semasa pengangguran, bank pusat akan menurunkan kadar bank terhadap bank perdagangan. Kadar bank merupakan kadar bunga yang dikenakan oleh bank pusat terhadap pinjaman bank perdagangan. Apabila bank pusat menurunkan kadar bank, ini akan menyebabkan pelaburan bank perdagangan menurunkan kadar bunga terhadap pinjaman orang ramai. Kadar bunga yang rendah menyebabkan pelaburan meningkat. Ini menyebabkan peluang pekerjaan meningkat dan pengangguran akan berkurang.

    Membeli surat jaminan kerajaan
    Semasa pengangguran, bank pusat akan membeli surat jaminan kerajaan daripada bank perdagangan dan orang ramai. Ini akan menyebabkan penawaran wang bertambah dalam masyarakat. Kuasa beli masyarakat meningkat dan peluang pekerjaan turut meningkat untuk memenuhi permintaan agregat masyarakat. Maka, pengangguran akan berkurang.

No comments:

Post a Comment