Thursday, November 04, 2010

PERANAN INOVASI DALAM MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI YANG BERDAYA SAING

NAMA      : NUR SYAFIQAH BINTI MOHD NASIR
KELAS      : 6 DEDIKASI
SEKOLAH : SMK PUNCAK ALAM
TAJUK : PERANAN INOVASI DALAM MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI YANG BERDAYA SAING

Inovasi ialah asas kepada pertumbuhan dan kemajuan negara. Inovasi merupakan  pemangkin yang menentukan acuan dan kepantasan negara untuk terus maju. Bagi Malaysia, inovasi adalah teras peralihan kepada ekonomi yang diterajui oleh teknologi dan mengekalkan kelebihan daya saing negara. Perubahan yang berlaku hari ini memerlukan kerajaan dan industri meletakkan inovasi serta daya kreatif sebagai faktor utama mencapai anjakan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Selain itu, kerajaan sedang melaksanakan transformasi menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai penjana nilai tinggi dalam model ekonomi baru. Model Ekonomi Baru memerlukan perubahan struktural dari segi modal insan dan bentuk kegiatan ekonomi yang akan dimajukan di Malaysia. Sehubungan dengan itu, negara perlu memperkasa landskap inovasi melalui rangsangan inspirasi dan mencanai idea baru bagi mengembang bakat sedia ada serta mengeksploitasi kemampuan kreativiti serta inventif modal insan negara pada peringkat maksimum.

Satu daripada nilai aspirasi terkandung dalam konsep 1Malaysia ialah budaya inovasi. Dalam pengertian mudah, budaya inovasi merujuk kepada kesediaan untuk berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam seluruh aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan, dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif. Kreativiti membabitkan pemikiran, idea, dan gagasan baru. Inovasi pula menjurus kepada penambahbaikan dan penyesuaian kepada pemikiran, idea atau gagasan sedia ada sehingga memberi nilai tambah baru yang boleh diguna pakai, dimanfaatkan, dijadikan asas serta dasar lebih produktif, dan bagi produk serta perkhidmatan yang dikomersialkan. Bagi membolehkan inovasi menjadi suatu budaya, kreativiti dan inovasi tidak boleh dihadkan kepada sesuatu kelompok masyarakat seperti karyawan seni, ahli sains atau pakar teknologi sahaja, tetapi perlu difahami dan diamalkan oleh seluruh lapisan masyarakat dalam segala bidang, terutama yang selama ini rencam kerana sarat dengan teknologi seperti industri penghasilan perisian baru, produk teknologi canggih atau bidang yang sarat birokrasi seperti pentadbiran awam. Oleh itu, dasar dan inisiatif perlu dirangka segera supaya kreativiti dan inovasi diperluaskan dimensinya, amalan dan penghayatannya. Semua lapisan masyarakat perlu didedahkan supaya dapat memahami aspirasi budaya inovasi untuk memacu perubahan dan pembangunan.

Malaysia mempunyai sejarah yang boleh dibanggakan dalam membangunkan dasar yang mendorong pertumbuhan ekonomi dan keharmonian sosial. Dalam pelbagai situasi, pendekatan tradisional tidak digunakan, dan sebaliknya melaksanakan pendekatan baru dalam konteks yang unik. Contoh pendekatan ini termasuk dasar pembangunan ekonomi luar bandar (RED) dalam ''Buku Merah'' dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Walaupun kebanyakan asas dalam dasar ini dapat bertahan, namun dasar ini sering dikemaskinikan sebagai respon kepada persekitaran global, kemajuan negara dan perkembangan aspirasi. Sebagai contoh, Dasar Ekonomi Baru merupakan satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya adalah dengan mewujudkan perpaduan negara dengan mengurangkan perbezaan ekonomi, sosial, kebudayaan, penempatan, dan sebagainya. Selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB telah dirancang untuk memperbaiki keadaan ini.

Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. DEB dirancang sebagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata iaitu mengurangkan seterusnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum serta mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, kerajaan telah menubuhkan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan usaha atau kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru seterusnya digantikan oleh Dasar Wawasan Kebangsaan (NVP). Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatu padu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi. Hal ini bagi memastikan strategi terbaik dapat diatur, langsung meletakkan Malaysia pada laluan betul, demi mencapai Wawasan 2020. Tujahan utama membangunkan sebuah negara yang berdaya tahan atau berketrampilan, mewujudkan masyarakat saksama, mempertahankan pertumbuhan ekonomi yang tinggi, meninggikan daya saing, mengembangkan ekonomi berasaskan pengetahuan, memperkukuhkan modal insan dan melindungi alam sekitar terus menjadi dasar utama kerajaan.

Persaingan inovasi pada masa kini semakin sengit, khususnya dalam kalangan sektor korporat di negara maju. Selain meneroka asas untuk meningkatkan daya saing, inovasi menjadi prasyarat kepada perkembangan teknologi dan pasaran lebih luas. Inovasi juga adalah asas untuk mengubah model ekonomi berteraskan sumber asli dan pengeluaran kos murah kepada model ekonomi nilai tinggi. Tidak seperti perkembangan inovasi pada suku terakhir abad lalu, inovasi terkini lebih berorientasi pasaran dan kreativiti dalam seluruh bidang. Malah bidang yang dianggap tidak berdaya maju dan tradisional seperti pertanian, perkhidmatan dan utiliti juga semakin berkembang dengan ada pelbagai inovasi secara berterusan. Suatu hal yang menarik mengenai inovasi ialah sifatnya yang tidak lagi tertumpu dan tertutup kepada identiti kebangsaan dan milik eksklusif sesebuah organisasi.

'Inovasi terbuka' ialah slogan baru yang menghubungkan pelbagai organisasi dan negara asalkan mempunyai sinergi dan menguntungkan semua pihak. Itulah sebabnya tidak semua gergasi korporat melakukan sendiri inovasi dalam sesuatu bidang, sebaliknya turut bergantung kepada inovasi institusi atau individu lain yang mempunyai kepentingan bersama. Itulah antara faktor pendorong kewujudan banyak organisasi persendirian yang melakukan inovasi mengikut keperluan pengguna, iaitu sektor korporat atau agensi awam. Organisasi ini biasanya berasal daripada agensi awam atau universiti yang kemudian berkembang menjadi entiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bebas seperti Stanford Research Institut (SRI) di Amerika Syarikat, dan Water Research Corporation (WRC) di Britain. Malah banyak juga organisasi R&D yang asalnya anak syarikat sesebuah gergasi korporat menawarkan khidmat R&D kepada badan korporat lain.

Sejajar dengan itu, pihak industri juga perlu bergerak pantas menghasilkan produk lebih bernilai tambah serta berkesan memenuhi kehendak pasaran. Pendekatan proaktif dan bersepadu penting memenuhi keperluan Wawasan 2020 dan membolehkan Malaysia meletakkan dirinya sebaris negara lain yang lebih maju dan berpengaruh. Produk berinovasi yang dihasilkan tidak bermakna jika tidak dikomersialkan. Salah satu pendekatan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) apabila tercapai perjanjian pembelian teknologi. Namun, sebelum teknologi dipasarkan, hasil penyelidikan ini perlu diberi perlindungan sebagai harta intelek terlebih sama ada dalam bentuk paten, cap dagang, hak cipta, rahsia perniagaan atau reka cipta industri. Pengkomersialan hasil R&D negara baru berkembang pada tahun 1990-an yang sebelumnya lebih kepada memenuhi tuntutan akademik atau kajian ilmiah. Oleh itu, bagi negara sedang membangun seperti Malaysia yang baru mempergiatkan usaha pengkomersialan, sudah tentu kadar pengkomersialan negara masih rendah berbanding negara maju.

Peratusan pengkomersialan projek R&D bagi peruntukan dibiayai oleh geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) kini dalam lingkungan 3.4 peratus berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Korea, iaitu 5 hingga 10 peratus hasil penyelidikan dapat dikomersialkan. Namun, daripada prestasi R&D Malaysia berdasarkan pengukuran 'output' (paten) menunjukkan trend meningkat. Jika dilihat secara khusus pada tahun 2002, pemberian paten secara keseluruhan meningkat daripada 1,492 kepada 2,347 pada tahun 2004 dan meningkat hampir tiga kali ganda kepada 6,749 pada 2006. Peningkatan itu menunjukkan wujud tahap kesedaran yang bertambah baik terhadap kepentingan harta intelek. Dalam konteks sama, statistik terkini daripada Pertubuhan Harta Intelek Sedunia, kadar permohonan untuk memfailkan paten di seluruh dunia meningkat pada kadar purata 4.75 setahun. Kadar itu setanding kadar purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia 5.6 peratus. Kerajaan akan sentiasa menitikberatkan konsep penyelidikan dan pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) untuk memastikan kadar pengkomersialan meningkat dari setahun ke setahun.

Strategi kerajaan mempertingkatkan pengkomersialan penemuan R&D ialah memperkukuh struktur sokongan dan institusi untuk usaha pengkomersialan hasil R&D melalui kepemimpinan dan tadbir urus yang berkesan. Mosti juga meningkatkan kesedaran mengenai R&D serta menggalakkan pengkomersialan R&D dengan menyediakan persekitaran kondusif untuk menjana R&D berkualiti selain menggalakkan pembangunan dan penggunaan serta aplikasi teknologi utama bagi menggalakkan R&D yang lebih didorong oleh pasaran. Keadaan dapat dilihat dengan penggubalan Model Inovasi Negara pada tahun 2007. Model itu mengutamakan aspek inovasi dengan menerapkan pendekatan seimbang iaitu di antara inovasi berpandukan teknologi dan inovasi berpandukan pasaran. Untuk meningkatkan lagi kadar pengkomersialan penemuan R&D dalam sektor awam, secara umumnya, Mosti menyediakan sumber pembiayaan komprehensif pada peringkat awal sehingga tahap pengkomersialan.

Terdapat agensi Mosti yang terbabit secara langsung dalam menggalakkan kegiatan pengkomersialan iaitu agensi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia Sdn Bhd (MTDC) yang ditubuhkan pada tahun 1992. Tumpuannya ialah mengkomersialkan hasil penemuan penyelidikan oleh universiti dan institusi penyelidikan serta mengenal pasti dan memindah teknologi strategik untuk menggalakkan pertumbuhan perusahaan berasaskan teknologi di Malaysia. Dua dana utama ditubuhkan di bawah MTDC iaitu Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) dan Dana Perolehan Teknologi (TAF). Objektif utama CRDF ialah mempromosikan pengkomersialan teknologi tempatan dan menyegerakan pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan universiti, institusi penyelidikan, firma dan penyelidik individu atau pereka cipta tempatan.

Sementara itu, TAF pula bertujuan mempromosikan peningkatan teknologi melalui perolehan teknologi strategik dan relevan oleh sektor industri Malaysia. Separa geran juga disediakan untuk tujuan penempatan warga Malaysia dalam firma teknologi luar negara atau institusi peningkatan teknologi. Selain itu, meningkatkan kerjasama antara industri, kerajaan dan institusi penyelidikan bagi memastikan hasil R&D dapat dimajukan hingga ke peringkat pengkomersialan. Penekanan khusus diberikan kepada usaha mempertingkatkan kerjasama antara institusi penyelidikan dengan pihak industri serta menambah kepakaran pengkomersialan dan keberkesanan pengurusan dalam unit pemasaran dan pengkomersialan di universiti dan institut penyelidikan. Mosti sering mengadakan bengkel dan seminar dengan menjemput pakar dalam bidang ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

Selain itu, inovasi juga tidak mengenal lagi batas geografi. Sebagai contoh, ketika ini lebih separuh aktiviti inovasi syarikat utama Britain dilakukan di negara lain. Selain mengamalkan dasar 'outsourcing', Syarikat itu juga menjalankan pelbagai program R&D menerusi pusat penyelidikan ditubuhkan di negara yang menyediakan peluang dan persekitaran inovasi menarik. Ketika ini, kira-kira 60 peratus aktiviti R&D syarikat Britain terletak di Amerika Syarikat. Sebaliknya hampir separuh hasil inovasi syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat dilakukan di Britain. Selain itu, banyak negara menyediakan insentif untuk menarik pelaburan asing dalam bidang R&D. Pelaburan sedemikian lebih menguntungkan berbanding sektor pengeluaran produk pukal kerana aktiviti R&D membabitkan pelaburan besar, kepakaran tinggi dan menyediakan peluang pekerjaan tenaga mahir. Pelaburan R&D juga menjadikan sesebuah negara lebih berdaya saing menerusi ekonomi nilai tinggi.

            Antara
negara yang rasional untuk menyediakan pelbagai insentif menarik untuk pelaburan R&D khususnya kepada gergasi korporat seperti Singapura, Korea Selatan, Australia, China dan India. Misalnya, sebuah syarikat farmasi terkemuka Britain, GSK, baru sahaja memindahkan pusat R&D ke China untuk penyakit sistem saraf. Laird pula, salah sebuah syarikat tersenarai 350 dalam FTSE baru saja memulakan operasi makmal korporat ke India dalam bidang 'horizon scanning'. Selain mempergiatkan aktiviti R&D menerusi pelaburan awam dan swasta tempatan, dicadangkan agar pihak kerajaan menyediakan dasar dan strategi lebih jelas, serta insentif proaktif untuk menarik syarikat gergasi antarabangsa menempatkan operasi R&D di Malaysia. Tidak seperti pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pengeluaran, pelaburan R&D lebih beraneka dan menguntungkan. Tetapi syaratnya ialah penyediaan 'ekosistem inovasi' iaitu persekitaran, dasar, budaya dan insentif yang mendorong aktiviti R&D merangkumi sekurang-kurangnya lima aspek.

Paling utama ialah institusi tempatan turut melakukan aktiviti asas R&D sebagai penghubung, sekali gus penjana pelbagai program inovasi. Kedua, tenaga mahir R&D mencukupi dalam sesuatu bidang. Ini kritikal kerana biasanya pelaburan R&D memerlukan tenaga mahir terlatih dan berpengalaman pada peringkat PhD. Sekali lagi, peranan universiti penting untuk menampung keperluan tenaga pakar. Sebagai contoh P&G baru saja membuka makmal R&D berhampiran Universiti Tsinghua, China yang menempatkan 1,000 jurutera penyelidikan berkelulusan PhD. Dalam hal ini, Malaysia masih jauh ketinggalan. Jumlah mahasiswa peringkat sarjana dan PhD dalam bidang teknologi dan kejuruteraan ketika ini sekitar 10,000 orang saja. Menurut perangkaan terakhir, daripada jumlah itu, kira-kira 43 peratus mahasiswa pasca siswazah belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ketiga, perkembangan saintifik sesebuah lokasi. Pelaburan R&D biasanya mengambil kira kewujudan bukan saja tenaga mahir malah syarikat atau persaingan dalam sesuatu bidang. Itu rasional banyak syarikat berteraskan ICT menempatkan pusat R&D di India. Keempat, insentif kewangan dan pelaburan yang ditawarkan kerajaan seperti taraf perintis, kemasukan tenaga mahir dari luar negara, dan kemudahan untuk kerjasama penyelidikan dengan institusi tempatan (biasanya universiti).

Sebagai negara yang semakin berdaya saing, peranan perkhidmatan awam mendapat sorotan meluas dalam semua dasar, strategi dan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Perkhidmatan awam adalah nadi kepada kerajaan Malaysia. Selain menyediakan kerangka perundangan dan penguatkuasaan, perkhidmatan awam juga berperanan sebagai penggerak pelbagai program pembangunan dan kemudahan awam. Peranan ini dijangka lebih menyerlah untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan iklim pelaburan dan perdagangan kepada sektor swasta. Dalam tempoh setahun terawal pentadbiran Najib, tumpuan diberi kepada peningkatan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam. Setiap kali Najib berucap di hadapan penjawat awam, banyak pihak ternanti-nanti pengumuman penting dan inisiatif baru. Bagi sebahagian besar penjawat awam, selain dasar baru, faktor sistem penggajian dan imbuhan turut menjadi perhatian. Penambahbaikan skim perkhidmatan dilakukan secara berterusan untuk menjaga kebajikan penjawat awam supaya memberi sepenuh komitmen dan integriti kepada tugas masing-masing. Ketika ini bukan saja komuniti akademia dan perkhidmatan kesihatan, malah polis, tentera, guru, dan terkini warga pos menikmati peningkatan imbuhan kerja dan skim perkhidmatan. Ini selaras langkah kerajaan memastikan pendapatan rakyat meningkat sesuai dengan peningkatan produktiviti dan kualiti hidup seperti terangkum dalam Model Baru Ekonomi. Untuk terus memacu daya saing, beberapa aspek perlu pembaikan secara berterusan.

Berdasarkan laporan IMD Switzerland menerusi World Competitive Yearbook 2010 (WCY2010), kedudukan Malaysia semakin menyerlah. Daripada tangga 19 pada tahun 2009 kepada 10 pada tahun 2010 di belakang Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Sweden, Kanada, Taiwan, dan Norway. Jika kita bersetuju dengan falsafah dan konsep laporan itu, maka ini petunjuk penting betapa pelbagai inisiatif dilakukan sejak kebelakangan ini membantu menyediakan persekitaran lebih kondusif untuk Malaysia terus berdaya saing.
Secara umumnya, WCY2010 menggunakan empat parameter utama iaitu ekonomi, kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur. Malaysia menunjukkan peningkatan menggalakkan dalam semua parameter kecuali infrastruktur berbanding negara dalam kelompok 20 teratas turut membabitkan Luxembourg, Belanda, Denmark, Austria, Qatar, Jerm
an, Israel, China, dan Finland. Untuk terus meningkatkan daya saing maka tumpuan perlu diberikan kepada enam bidang dalam kategori infrastruktur. Keutamaan paling ketara ialah pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kini kedudukan Malaysia ialah pada tangga 34 berbanding 39 pada tahun 2009. Ini perlu diberi perhatian segera dalam Bajet 2010 dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

            Biaya R&D dijangka meningkatkan inovasi dan kreativiti negara, sekali gus memberi kesan langsung kepada perkembangan pengajian tinggi, penjanaan nilai tinggi dan peningkatan kepakaran dalam pelbagai bidang. Sekadar pembiayaan tidak memadai untuk memacu aktiviti R&D. Banyak negara kaya di rantau Asia Barat membelanjakan lebih 10 kali ganda berbanding
Malaysia dari segi kuantum. Namun, lebih penting ialah ekosistem inovasi yang membolehkan penyelidikan saintifik dilakukan menerusi kepakaran, penyelidik terlatih, skim perkhidmatan, modus operandi dan aktiviti hiliran R&D seperti pemfailan harta intelek, pengkomersialan, dan dana teroka untuk memasuki pasaran lokal dan global. Dalam hal ini peranan pengajian tinggi perlu digembleng sepenuhnya supaya kedudukan dalam WCY2010 terus meningkat (19 pada tahun 2009 dan 15 pada tahun 2010). Malaysia perlu segera mencari jalan mewujudkan lebih banyak universiti penyelidikan, seterusnya mengemukakan kerangka lebih inovatif dalam konteks kerjasama pintar dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

            Malaysia nampaknya jauh ketinggalan dalam penyediaan kemudahan kesihatan berbanding negara maju. Kedudukan pada tangga 29 (berbanding 32 pada tahun 2009) perlu terus dipertingkatkan bukan saja menerusi penyediaan perkhidmatan kesihatan lebih baik malah menggalakkan cara hidup sihat di kalangan seluruh warga, sesuai dengan perbidalan, mencegah
lebih baik daripada mengubati. Tumpuan juga perlu diberikan terhadap infrastruktur teknologi komunikasi. Kedudukan Malaysia dalam WCY2010 ialah 23 berbanding 34 pada tahun sebelumnya. Walaupun kemudahan telefon bimbit semakin meningkat, kemudahan internet masih terhad dari segi liputan dan kepantasan. Menerusi strategi kemudahan jalur lebar 4G yang dilaksanakan empat syarikat konglomerat utama, maka infrastruktur itu dijangka akan menambah daya saing negara. Sementara itu, secara kuantitatif kualiti hidup nampaknya semakin meningkat. WCY2010 menempatkan Malaysia pada kedudukan 17 berbanding 21 pada tahun 2009. Ini ada kaitannya dengan parameter pembangunan lestari pada tangga kelapan berbanding ke-13 pada tahun 2009. Kita berharap pelestarian alam sekitar terus mantap di Malaysia bukan saja menerusi inisiatif kerajaan, malah pembabitan semua pihak.

Sesungguhnya inovasi semakin penting dalam suasana ekonomi nilai tinggi kerana menjadi penjana aset bukan fizikal paling utama. Laporan Bank Dunia menyebut bahawa harta sesebuah negara dalam bentuk pengetahuan teknologi, harta intelek, jenama dan institusi boleh menjangkau antara 60 hingga 80 peratus. Selebihnya ialah harta dalam bentuk aset fizikal dan konvensional seperti tanah, bangunan, modal kewangan, emas, kilang, dan sebagainya. Walaupun kita menyedari apa juga bentuk indeks, petunjuk, dan sistem ranking mempunyai banyak kelemahannya, kita perlu bijak menggunakan sebaiknya untuk dijadikan sebahagian input dalam penilaian terhadap keberkesanan pelbagai dasar dan inisiatif perkhidmatan awam khususnya. Penilaian sebenar masih terhadap kesejahteraan rakyat, keamanan, dan pelestarian ekosistem supaya negara kita terus maju dan makmur.

SENARAI RUJUKAN;
1.      INTERNET
iv)    http://www.utm.my/vicechancellor/content/view/374/46/

2.       TEMUBUAL
i)                    PN. HAJARIAH BINTI ISA
ii)                  PN. ATIQA BEGUM W.KHAN
iii)                PN. NOR ZAIDAH JAAFAR