Thursday, July 07, 2011

makroekomnomi bab 7


Objektif Pembelajaran Bab 7

  1. Memahami perbezaan antara pertumbuhan ekonomi dan pembangunan ekonomi.
  2. Mengenal pasti faktor mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.
  3. Membandingkan tingkat pertumbuhan ekonomi antara beberapa negara maju dengan negara membangun dengan menggunakan data pendapatan per kapita.
  4. Mengenal pasti langkah kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi merujuk kepada perkembangan kegiatan ekonomi sesebuah negara kesan pertambahan keluaran di dalam negara dari masa ke masa.

Pertumbuhan ekonomi dipengaruhi tingkat keluaran barang dan perkhidmatan.

Apabila tingkat keluaran barang dan perkhidmatan dalam sebuah ekonomi meningkat, pertumbuhan ekonomi tersebuat akan turut meningkat.

Kadar pertumbuhan ekonomi dapat diukur melalui persamaan-persamaan berikut:

Kadar pertumbuhan ekonomi = (KNKn benar — KNK(n — 1) benar) / KNK(n — 1) benar × 100%

Kadar pertumbuhan ekonomi = (KDNKn benar — KDNK(n — 1) benar) / KDNK(n — 1) benar × 100%

di mana

n = tahun semasa dan
(n — 1) = tahun sebelumnya

Pembangunan Ekonomi

Pembangunan Ekonomi merupakan satu konsep yang lebih luas dan meliputi faktor-faktor ekonomi dan faktor-faktor sosial dalam sesebuah negara.

Pembangunan ekonomi bukan bukan sahaja meliputi pertumbuhan ekonomi, malah turut merangkumi peningkatan taraf hidup penduduk, corak agihan pendapatan yang lebih setara, peningkatan taraf pendidikan dan kesihatan, dan penurunan kadar pengangguran dan kadar kemiskinan penduduk.

Pembangunan ekonomi biasanya diukur berdasarkan pendapatan per kapita benar penduduk seperti berikut:

Kadar pembangunan ekonomi = (PPKn — PPK(n — 1)) / PPK(n — 1) benar × 100%

di mana

PPK = Pendapatan per kapita benar
n = tahun semasa dan
(n — 1) = tahun sebelumnya

Perkembangan Taraf Pendidikan dan Penyediaan Kemudahan Latihan

Pertumbuhan ekonomi Malaysia digalakkan melalui peningkatan taraf pendidikan dan penyediaan latihan yang berkualiti untuk pekerja-pekerja dan usahawan.
Apabila taraf pendidikan dan kemahiran pekerja dan usahawan meningkat, daya pengeluaran negara akan meningkat.

Kenaikan daya pengeluaran negara akan menambahkan jumlah keluaran yang dapat dihasilkan oleh sesebuah negara dan seterusnya mempercepat pertumbuhan ekonomi negara tersebut.

Penggunaan Teknologi Tinggi

Penggunaan teknologi tinggi dalam bidang pengeluaran dapat meningkatkan daya pengeluaran dan jumlah keluaran yang dihasilkan oleh sesebuah negara.
Semakin tinggi jumlah keluaran negara, semakin cepat pertumbuhan ekonomi negara tersebut.

Kemasukan Pelaburan Asing

Infrastruktur yang baik dalam sesebuah negara menggalakkan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara tersebut.
Kemasukan pelaburan asing dapat merangsang pertumbuhan ekonomi, terutama apabila modal disalurkan kepada sektor ekonomi yang produktif seperti sektor perkilangan, pertanian dan perkhidmatan.

Kegiatan pelaburan dapat menambahkan tingkat keluaran negara dan seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Peluasan Pasaran

Peluasan pasaran ke luar negara mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pengeluaran secara besar-besaran bagi memenuhi pertambahan permintaan pasaran dan peningkatan eksport barang tempatan ke negara lain.

Kekurangan Buruh Mahir dan Usahawan

Kekurangan buruh mahir menyebabkan negara tidak dapat mengamalkan pengkhususan dan penggunaan teknologi tnggi dalam aktiviti pengeluaran.

Kekurangan amalan pengkhususan dan penggunaan teknologi tinggi menyebabkan negara tidak dapat mengeluarakan secara besar-besaran dan menikmati ekonomi bidangan.

Kesannya, tingkat keluaran negara merosot.

Selain itu, kekurangan buruh mahir dan usahawan mengehadkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dapat dijalankan dalam sektor-sektor tertentu.

Kekurangan inovasi baru turut menjejaskan tingkat keluaran negara.

Apabila tingkat keluaran negara merosot, pertumbuhan ekonomi negara juga akan merosot.

Kekurangan Modal


Kekurangan modal akibat kegiatan peaburan yang kurang memberangsangkan menyebabkan sesetengah pengeluar mengalami kesukaran untuk membangunkan sektor ekonomi tertentu, terutama sektor pertanian.

Penggunaan jentera yang lama dan usang menyebabkan petani dan peladang tidak dapat menghasilkan keluaran dalam kuantiti yang besar dan seterusnya tidak dapat menikmati ekonomi bidangan.

Selain itu, kekurangan modal turut menyebabkan firma-firma perindustrian tidak dapat menggunakan teknologi moden dalam aktiviti pengeluaran mereka. Kemerosotan pengeluaran sektor-sektor ekonomi yang penting ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara terbantut.

Pasaran Yang Terhad

Jumlah penduduk yang sedikit menyebabkan saiz pasaran negara adalah kecil. Kualiti keluaran yang rendah akbat kekurangan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta penggunaan kaedah pengeluaran yang tradisional menyebabkan pengeluar tidak dapat bersaing dengan barang import yang jauh lebih murah dan berkualiti tinggi.

Kemerosotan eksport dan pergantungan berlebihan terhadap barang import akan membantutkan ekonomi negara.

makroekomnomi bab 6


Objektif Pembelajaran Bab 6

Perdagangan Antarabangsa

  1. Menerangkan sebab perlunya perdagangan antarabangsa.
  2. Menerangkan faedah mutlak dan faedah berbanding dengan menggunakan jadual dan rajah.
  3. Menganalisis aliran perdagangan Malaysia dari segi komposisi, arah aliran serta perubahan struktur import dan eksport.
  4. Menghuraikan konsep kadar syarat perdagangan dan sekatan perdagangan.

Imbangan Pembayaran dan Kadar Pertukaran Asing

  1. Memperincikan setiap akaun dalam imbangan pembayaran Malaysia.
  2. Menghuraikan konsep kadar pertukaran asing.
  3. Membincangkan secara ringkas isu dan kesan globalisasi di Malaysia.

Perdagangan Antarabangsa

Perdagangan Antarabangsa ialah pertukaran barang dan perkhidmatan antara negara-negara melalui kegiatan eksport dan import.

Alasan Menjalankan Perdagangan Antarabangsa

Ahli-ahli ekonomi berpendapat perdagangan antarabangsa membolehkan negara-negara mengeluarkan barangan pada keluk kemungkinan pengeluaran tetapi mencapai penggunaan di luar keluk tersebut. Perdagangan antarabangsa membolehkan pecapaian tingkat kebajikan yang lebih tinggi.
Setiap negara mempunyai jenis dan mutu barangan yang berbeza. Perdagangan antarabangsa membolehkan para pengeluar memperluaskan pasaran barangan dan para pengguna menikmati pilihan barangan yang lebih luas dan mutu barangan yang lebih tinggi.

Sebab Mengapa Keluaran Setiap Negara Berbeza

Perbezaan sumber semula jadi
Perbezaan kemahiran buruh dan pengusaha
Perbezaan tingkat teknologi
Perbezaan cita rasa pengguna
Perbezaan corak penggunaan

Persaingan daripada firma asing menggalakkan firma tempatan berusaha meningkatkan kecekapan pengeluaran, menjalankan strategi memperluaskan pasaran antarabangsa dan berusaha meningkatkan pendapatan eksport. Para pengguna turut menikmati harga barangan import yang lebih murah.
Pengkhususan dalam pengeluaran membolehkan firma-firma menikmati ekonomi bidangan dan mengurangkan kos per unit (kos purata)keluaran.
Pandangan ahli ekonomi Adam Smith (yang mengemukakan Teori Faedah Mutlak dan David Ricardo (yang mengemukakan Teori Faedah Berbanding) tentang keuntungan daripada pengkhususan dan perdagangan bebas (pertukaran barang antara negara tanpa sekatan tarif, sudsidi eksport dan kawalan kastam), telah menjadi asas kepada perdagangan antarabangsa sehingga sekarang.

Faedah Mutlak

Kesanggupan sesebuah negara untuk mengeluarkan lebih banyak barang tertentu daripada negara lain berdasarkan sejumlah faktor pengeluaran dan tingkat teknologi yang sama.

NegaraKain (meter)Basikal
X1000200
Y800400
Negara X mempunyai faedah mutlak dalam pengeluaran kain (lebih banyak kain).
Negara Y mempunyai faedah mutlak dalam pengeluaran basikal (lebih banyak basikal).
Perdagangan di antara negara X dan negara Y akan menguntungkan kedua-dua buah negara tersebut.

Faedah Berbanding

Faedah berbanding ialah faedah yang dinikmati sesebuah negara apabila negara tersebut dapat mengeluarkan sesuatu barang dengan kos melepas yang lebih rendah daripada negara lain dengan menggunakan kuantiti sumber ekonomi yang sama dan tingkat teknologi yang sama.

NegaraKereta
(buah)
Motosikal
(buah)
Kos Lepas bagi sebuah keretaKos lepas bagi sebuah motosikal
R100300300/100 = 3 buah motosikal100/300 = 0.3 buah kereta
S250350350/250 = 1.4 buah motosikal250/350 = 0.7 buah kereta

Berdasarkan jadual di atas, dengan menggunakan kuantiti faktor yang sama dan tingkat teknologi yang sama, negara S adalah lebih cekap (mempunyai faedah mutlak) dalam pengeluaran kereta dan motosikal berbanding dengan negara R. Dalam situasi sedemikian, sama ada perdagangan antarabangsa dapat dijalankan antara kedua-dua negara ini bergantung pada kos melepas yang dilibatkan oleh kedua-dua buah negara dalam mengeluarkan getah dan beras.
Berdasarkan jadual di atas, negara R mempunyai kos melepas yang lebih rendah dalam pengeluaran motosikal berbanding dengan negara S. Sebaliknya, negara S mempunyai kos melepas yang lebih rendah dalam pengeluaran kereta berbanding dengan negara R. Oleh itu, negara R mempunyai faedah berbanding dalam pengeluaran motosikal, manakala negara S mempunyai faedah berbanding dalam pengeluaran kereta.
NegaraRadio
(buah)
Perabot
(buah)
Kos Lepas per unit radioKos lepas per unit perabot
X102020/10 = 2 unit perabot10/20 = 0.5 unit radio
Y51010/5 = 2 unit perabot5/10 = 0.5 unit radio


Kes di atas menunjukkan kos lepas bagi pengeluaran perabot dan radio adalah sama di kedua-dua buah negara tersebut. Maka kedua-dua negara tidak mempunyai faedah berbanding dalam pengeluaran radio atau perabot. Oleh itu, tidak wujud perdagangan antarabangsa.

Arah Aliran Perdagangan

Corak eksport dan import di antara negara-negara ditentukan oleh faedah mutlak atau faedah berbanding. Perdagangan antarabangsa akan menguntungkan semua negara sekiranya setiap negara menikmati faedah mutlak atau faedah berbanding dalam sekurang-kurangnya satu jenis barang.

Pengkhususan dan Laba (keuntungan) Perdagangan Antarabangsa Akibat Faedah Mutlak (Kaedah Jadual)

  1. Andaian-andaian
    1. Terdapat dua buah negara sahaja yang mengeluarkan dua jenis barang.
    2. kedua-dua buah negara menggunakan dua orang buruh yang sama cekap pada tingkat teknologi yang sama.
    3. mobiliti faktor-faktor pengeluaran adalah sempurna.
    4. ekonomi adalah pada tingkat guna tenaga penuh.
    5. kos pengangkutan adalah sifar.
    6. sistem perdagangan antarabangsa adalah perdagangan bebas.
  2. Contoh

    NegaraKain (meter)Basikal
    X1000200
    Y800400

    1. Pengeluaran Sebelum pengkhususan
      Negara X
       menikmati faedah mutlak dalam pengeluaran kain dan negara Y menikmati faedah mutlak dalam pengeluaran basikal.
    2. Pengeluaran Selepas Pengkhususan

      NegaraKain (meter)Basikal
      X2000
      Y800

      Pengkhususan membolehkan buruh digunakan dengan lebih cekap. Ini menyebabkan jumlah keluaran kain di pasaran antarabangsa bertambah daripada 1800 meter kepada 2000 meter. Jumlah keluaran basikal pula bertambah daripada 600 buah kepada 800 buah.
    3. Penentuan Kadar Pertukaran Eksport dan Import
      Kadar pertukaran kain dan basikal bergantung kepada persetujuan antara negara X dan Y berpandukan harga relatif kain dan basikal.
      Memandangkan harga relatif kain dan basikal di negara X ialah 1 meter kain = 0.2 buah basikal dan harga relatif kain dan basikal di negara Y ialah 1 meter kain = 0.5 buah basikal, maka laba perdagangan akan diperoleh oleh kedua-dua buah negara sekiranya kadar pertukaran eksport dan import adalah antara lingkungan harga 1 meter kain = 0.2 hingga 0.5 buah basikal.
      Katakan kadar pertukaran yang dipersetujui ialah 1 meter kain = 0.4 buah basikal.
    4. Penggunaan Selepas Perdagangan

      NegaraKain (meter)Basikal
      X1100360
      Y900440

      Katakan negara X ingin mengimport 360 buah basikal daripada negara Y. Memandangkan kadar pertukaran yang dipersetujui ialah 1 meter kain = 0.4 buah basikal, ini bererti negara X perlu mengeksport 900 meter kain kepada negara Y dan negara Y perlu mengeksport 360 buah basikal kepada negara X.
    5. Laba Perdagangan Antarabangsa
      Selepas perdagangan antarabangsa, penggunaan kain di negara X +100 meter (1000 meter kepada 1100 meter). Penggunaan kain di negara Y +100 meter (800 meter kepada 900 meter).
      Penggunaan basikal di negara X +160 buah (200 buah kepada 360 buah). Penggunaan basikal di negara Y +40 buah (400 buah kepada 440 buah).

Pengkhususan dan Laba (keuntungan) Perdagangan Antarabangsa Akibat Faedah Berbanding (Kaedah Jadual)

  1. Andaian-andaian
    1. Terdapat dua buah negara sahaja yang mengeluarkan dua jenis barang.
    2. kedua-dua buah negara menggunakan dua orang buruh yang sama cekap pada tingkat teknologi yang sama.
    3. mobiliti faktor-faktor pengeluaran adalah sempurna.
    4. ekonomi adalah pada tingkat guna tenaga penuh.
    5. kos pengangkutan adalah sifar.
    6. sistem perdagangan antarabangsa adalah perdagangan bebas.
  2. Contoh
    NegaraKereta
    (buah)
    Motosikal
    (buah)
    Kos Lepas bagi sebuah keretaKos lepas bagi sebuah motosikal
    R100300300/100 = 3 buah motosikal100/300 = 0.3 buah kereta
    S250350350/250 = 1.4 buah motosikal250/350 = 0.7 buah kereta


    1. Pengeluaran Sebelum pengkhususan
      Negara S 
      menikmati faedah mutlak dalam kedua-dua pengeluaran kereta dan motosikal.
      Namun begitu, negara R menikmati faedah berbanding dalam pengeluaran motosikal. Harga motosikal lebih murah di negara R. Kos lepas yang ditanngung ialah 0.3 buah kereta sahaja.
      Negara S menikmati faedah berbanding dalam pengeluaran kereta. Harga kereta lebih murah di negara S. Kos lepas yang ditanggung ialah 1.4 buah motosikal sahaja.
    2. Pengeluaran Selepas Pengkhususan

      NegaraKereta (buah)Motosikal (buah)
      R600
      S500


      Pengkhususan membolehkan buruh digunakan dengan lebih cekap. Ini menyebabkan jumlah keluaran kereta di pasaran antarabangsa bertambah daripada 350 buah kepada 500 buah. Walau bagaimanapun, jumlah keluaran motosikal di pasaran antarabangsa telah berkurangan daripada 650 buah kepada 600 buah.
      Pengkhususan antarabangsa masih menguntungkan kerana pertambahan keluaran kereta sebanyak 150 buah hanya melibatkan pengurangan keluaran motosikal sebanyak 50 buah sahaja.
    3. Penentuan Kadar Pertukaran Eksport dan Import
      Kadar pertukaran kereta dan motosikal bergantung kepada persetujuan antara negara R dan S berpandukan harga relatif kereta dan motosikal.
      Memandangkan harga relatif kereta dan motosikal di negara R ialah 1 kereta = 3 motosikal dan harga relatif kereta dan motosikal di negara S ialah 1 kereta = 1.4 motosikal, maka laba perdagangan akan diperoleh oleh kedua-dua buah negara sekiranya kadar pertukaran eksport dan import adalah antara lingkungan harga 1 kereta = 1.4 hingga 3 motosikal.
      Katakan kadar pertukaran yang dipersetujui ialah 1 kereta = 2 motosikal.
    4. Penggunaan Selepas Perdagangan

      NegaraKereta (buah)Motosikal (buah)
      R150300
      S350300

      Katakan negara R ingin mengimport 150 kereta daripada negara S. Memandangkan kadar pertukaran yang dipersetujui ialah 1 kereta = 2 motosikal, ini bererti negara R perlu mengeksport 300 motosikal kepada negara S dan negara S perlu mengeksport 150 kereta kepada negara R.
    5. Laba Perdagangan Antarabangsa
      Selepas perdagangan antarabangsa, penggunaan kereta di negara R +50 buah (100 buah kepada 150 buah). Penggunaan kereta di negara S +100 meter (250 buah kepada 350 buah).
      Penggunaan motosikal di negara R tidak berubah. Penggunaan motosikal di negara S −50 buah (350 buah kepada 300 buah). Pengurangan penggunaan motosikal sebanyak 50 buah (atau 25 buah kereta memandangkan 1 kereta = 2 motosikal) dan peningkatan penggunaan kereta sebanyak 100 buah di negara S bererti negara S tetap menikmati laba perdagangan antarabangsa.

    Pengkhususan dan Laba (keuntungan) Perdagangan Antarabangsa Akibat Faedah Berbanding (Kaedah Rajah)



    1. Andaian-andaian
      1. terdapat dua buah negara yang mengeluarkan dua jenis barang.
      2. Kedua-dua buah negara menggunakan dua orang buruh yang sama cekap pada tingkat teknologi yang sama.
      3. mobiliti buruh adalah sempurna.
      4. ekonomi adalah pada guna tenaga penuh.
      5. kos pengangkutan adalah sifar.
      6. perdagangan bebas diamalkan.
    2. Kaedah Keluk Kemungkinan Pengeluaran Sebelum Pengkhususan dan Perdagangan
      1. Keluk kemungkinan pengeluaran AB menggambarkan harga relatif kereta dan motosikal di negara R sebagai 1 kereta = 3 motosikal atau 1 motosikal = 0.3 kereta.
      2. Keluk kemungkinan pengeluaran PQ menggambarkan harga relatif kereta dan motosikal di negara S sebagai 1 kereta = 1.4 motosikal atau 1 motosikal = 0.7 kereta.
      3. Secara relatif, harga motosikal di negara R lebih rendah (0.3 kereta): Sudut ABO lebih kecil daripada sudut PQO. Negara R menikmati faedah berbanding dalam pengeluaran motosikal dan harus mengkhusus dalam pengeluaran motosikal.
      4. Secara relatif, harga kereta di negara S lebih rendah (1.4 motosikal): Sudut QPO lebih kecil daripada sudut BAO. Negara S menikmati faedah berbanding dalam pengeluaran kereta dan harus mengkhusus dalam pengeluaran kereta.
      5. Titik C menunjukkan pengeluaran sebelum pengkhususan di negara R: 100 buah kereta dan 300 buah motosikal.
      6. Titik T menunjukkan pengeluaran sebelum pengkhususan di negara S: 250 buah kereta dan 350 buah motosikal.
    3. Kaedah Keluk Kemungkinan Pengeluaran Selepas Pengkhususan dan Perdagangan
      1. Titik B menunjukkan pengkhususan negara R dalam pengeluaran motosikal.
      2. Titik P menunjukkan pengkhususan negara S dalam pengeluaran kereta.
      3. Kadar pertukaran terletak antara harga relatif kereta dan motosikal di negara R (1 kereta = 3 motosikal) dan negara S (1 kereta = 1.4 motosikal). Andaikan bahawa kadar pertukaran yang dipersetujui ialah 1 kereta = 2 motosikal. Ini digambarkan oleh garis BE di negara R dan garis PV di negara S.
      4. Sekiranya negara R ingin menggunakan 300 buah motosikal dalam negara, negara R akan mengeksport 600 − 300 = 300 buah motosikal ke negara S dan mengimport 300 x 0.5 = 150 buah kereta dari negara S. Titik D menunjukkan titik penggunaan negara R selepas perdagangan dilakukan.
      5. Apabila negara S mengimport 300 buah motosikal dari negara R, negara S akan mengeksport 150 buah kereta ke negara R dan mengguna 500 − 150 = 350 buah kereta dalam negara. Titik U menunjukkan titik penggunaan negara S selepas perdagangan dilakukan.
    4. Kaedah Keluk Kemungkinan Pengeluaran: Laba Perdagangan Antarabangsa
      1. Jumlah barang yang dinikmati setelah perdagangan antarabangsa adalah lebih banyak daripada yang dikeluarkan dalam negara. Ini ditunjukkan oleh titik D negara R dan titik U negara S.
      2. Jumlah kereta yang dapat digunakan di negara R selepas perdagangan telah bertambah daripada 100 buah kepada 150 buah.
      3. Jumlah kereta yang dapat digunakan di negara S selepas perdagangan telah bertambah daripada 250 buah kepada 350 buah.
      4. Jumlah motosikal yang dapat digunakan di negara S selepas perdagangan telah berkurangan daripada 350 buah kepada 300 buah. Namun begitu, negara S masih memperoleh laba daripada perdagangan antarabangsa. Sebelum perdagangan antarabangsa, tambahan 100 buah kereta (daripada 250 buah kepada 350 buah) melibatkan pengurangan motosikal sebanyak 100 x 1.4 =140 buah (harga relatif ialah 1 kereta = 1.4 motosikal).. Kini, negara S hanya perlu melepaskan 50 buah motosikal sahaja.
      5. Kesimpulan: Perdagangan antarabangsa membolehkan negara-negara mencapai tingkat penggunaan di luar Keluk Kemungkinan Pengeluaran walaupun pada tingkat guna tenaga penuh.

    Faktor Yang Menghalang Pengkhususan Dalam Perdagangan Antarabangsa

    1. Mobiliti buruh tidak sempurna
      Tiada penggantian sempurna antara buruh. Pergerakan buruh mengambil masa.
    2. Kadar Pertukaran Merugikan Sesebuah NegaraKadar pertukaran eksport import mungkin merugikan sesebuah negara.
    3. Perdagangan Bebas Tidak DiamalkanSekatan perdagangan seperti tarif dan kuota menghalang pengkhususan dan perdagangan bebas.
    4. Kos Pengangkutan Adalah TinggiKos pengangkutan meningkat apabila negara-negara dipisahkan oleh lautan luas.

    Pengenalan

    Keteguhan ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada arahan aliran dalam harga dan kuantiti eksport-import.
    Bahagian eksport-import barangan ialah 70-85% daripada KNK pada tahun 1990-an.

    Komposisi, Arah Aliran dan Perubahan Struktur Eksport Barang Malaysia

    1. Komposisi Eksport Barang Malaysia terdiri daripada barang pertanian seperti getah. kayu balak, minyak kelapa sawit dll,Barang logam/ Galian seperti bijih timah, petroleum, gas asli cecair dll, dan Barang Perkilangan seperti kelengkapan pengangkutan, makanan, mesin-mesin elektrik dan alat ganti dll.
    2. Komposisi eksport Malaysia telah mengalami perubahan besar dalam jangka masa 1960-2000. Peratus sumbangan barang pertanian berkurangan dan peratus sumbangan barang perkilangan bertambah.
    3. Kemerosotan sumbangan barang pertanian berlaku kepada eksport getah manakala eksport kayu balak dan minyak kelapa sawit menampakkan kenaikan.
    4. Eksport bijih timah telah merosot semenjak tahun 1970 disebabkan oleh penutupan lombong-lombong bijih timah. Kepentingan eksport bijih timah telah diambil alih oleh eksport petroleum.
    5. Eksport barang perkilangan telah meningkat daripada 8.5% pada 1960 kepada 88.6% pada 2000. Pertambahan yang nyata berlaku dalam pengeksportan mesin-mesin elektrik dan alat ganti.
    6. Eksport barang perkilangan yang semakin meningkat menggambarkan perubahan dalam struktur pengeluaran Malaysia yang mengurangkan pergantungan kepada keluaran komoditi utama. Dasar mempelbagaikan ekonomi yang dilaksanakan untuk mengurangkan kesan buruk ketidakstabilan harga komoditi utama telah menggalakkan perkembangan pesat dalam jumlah eksport serta perluasan barang eksport baru.
    7. Perkembangan pesat dalam eksport barang perkilangan terjadi selepas penubuhan zon-zon perdagangan bebas pada tahun 1972. Mesin-mesin elektrik dan alat ganti adalah keluaran utama.
    8. Pada tahun 1980, komposisi eksport barang Malaysa dibezakan kepada barang utama (barang pertanian dan bahan logam) dan barang perkilangan. Eksport barang utama ialah penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport pada 1960-1985 walaupun sumbangannya semakin merosot. Mulai tahun 1990, eksport barang perkilangan telah menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport Malaysia.
    9. Prestasi eksport barang utama dan barang perkilangan terus meningkat pada abad ke-21 kerana struktur eksport yang semakin luas dan kedudukan barang perkilangan yang lebih kompetitif di pasaran antarabangsa.
    10. Namun begitu, Malaysia perlu mempelbagaikan lagi komposisi barang perkilangan untuk mengurangkan kesan negatif pengaruh luar yang boleh menjejaskan eksport negara.

    Komposisi, Arah Aliran dan Perubahan Struktur Import Barang Malaysia

    1. Komposisi Import Barang Malaysia terdiri daripada Barang Pengguna seperti makanan, minuman dan tembakau, barang keluaran kilang dll, Barang pelaburan seperti jentera pengangkutan dll, Barang Perantaraan seperti bahan mentah, bahan api, bahan kimia dll dan Import Bagi Eksport Semula.
    2. Import barang pengguna semakin berkurangan sejak tahun 1965 kerana usaha Malaysia memajukan industri penggantian import untuk mencapai tingkat mampu diri.
    3. Import barang pelaburan (terutamanya jentera dan kelengkapan) dan barang perantaraan (terutamanya untuk perkilangan dan pembinaan) meningkat selaras dengan perkembangan sektor perkilangan di Malaysia.
    4. Import barang pelaburan dan barang perantaraan pada masa kini ialah 80%-90% daripada jumlah import selaras dengan dasar perindustrian Malaysia.
    5. Import bagi eksport semula Malaysia terdiri daripada bijih timah dan gas asli. Arah aliranya turun naik.
    6. Usaha perlu dilakukan untuk meningkat eksport dan mengurangkan import untuk memperbaiki imbangan perdagangan dan imbangan pembayaran Malaysia.

    Komposisi, Arah Aliran dan Perubahan Struktur Eksport-Import Perkhidmatan Malaysia


    1. Komposisi Eksport-Import Perkhidmatan Malaysia terdiri daripada Perkapalan dan Insurans (khasnya pengangkutan laut),Pengankutan Lain (khasnya pengangkutan udara), Perjalanan (termasuk pendidikan di luar negara, pelancongan dan perjalanan untuk perniagaan), Pendapatan Pelaburan (pembayaran kepada pelaburan asing dan pembayaran bunga terhadap hutang luar negara), Urus Niaga Kerajaan (perbelanjaan kedutaan di luar negara) dan Lain-Lain (termasuk bayaran kontrak dan profesional).
    2. Eksport dan Import Perkhidmatan Malaysia menunjukkan arah aliran yang meningkat. Namun begitu, Malaysia masih lemah dari segi engeksportan perkhidmatan ke luar negara memandangkan nilai eksport perkhidmatan sentiasa kurang daripada nilai import perkhidmatan Malaysia. Ini menimbulan masalah defisit dalam imbangan perkhidmatan Malaysia.
    3. Pada masa kini, Perjalanan merupakan penyumbang terbesar Eksport Perkhidmatan Malaysia, ekoran daripada galakan kerajaan dalam sektor pelancongan dan institusi pengajian tinggi.
    4. Pendapatan Pelaburan merupakan komponen import perkhidmatan terbesar Malaysia pada masa kini., akibat dariapada pelaburan asing dalam sektor perkilangan.
    5. Usaha memperbaiki imbangan perkhidmatan negara merupakan satu cabaran kepada kerajaan Malaysia.

      Definisi

      Kadar syarat perdagangan menunjukkan nisbah antara indeks harga eksport dengan indekss harga import.

      Kadar syarat perdagangan = (Indeks harga eksport / Indeks harga import) × 100

      Apabila indeks harga eksport melebih indeks harga import, kadar syarat perdagangan bagi sesebuah negara akan menjadi lebih baik. Sebaliknya, jika indeks harga import melebihi indeks harga eksport, kadar syarat perdagangan bagi sesebuah negara akan merosot.

      Kadar syarat perdagangan di negara maju lebih baik berbanding dengan negara membangun

      Kadar syarat perdagangan di negara maju lebih baik berbanding dengan negara membangun sebab di negara maju, indeks harga eksport cenderung melebihi indeks harga import. Keadaan ini berlaku disebabkan perbezaan corak eksport dan import antara negara maju dengan negara membangun.

      Barang eksport kebanyakan negara maju terdiri daripada barang perkilangan atau barang akhir. Barang-barang seperti ini biasanya dieksport pada harga yang tinggi. Barang import negara maju pula terdiri daripada bahan mentah atau barang pertanian yang biasanya dibeli daripada negara membangun pada harga yang rendah.

      Oleh sebab harga eksport lebih tinggi dan harga import lebih rendah di negara maju, kadar syarat perdagangan di negara maju adalah lebih baik berbanding dengan negara membangun.

      Perdagangan Antarabangsa Terkawal

      Sekatan perdagangan adalah dasar perdagangan luar kerajaan dalam mengawal eksport dan import negara. Ia bertujuan melindungi kepentingan ekonomi negara berkenaan. Tanpa sekatan-sekatan ini, negara berkenaan mungkin mengalami defisit/ kerugian dalam imbangan perdagangan, dan inflasi yang diimport dan kemelesetan ekonomi yang berpunca dari negara-negara lain /ketidakstabilan ekonomi.

      Dasar Perlindungan Perdagangan

      Dasar Perlindungan Perdagangan merupakan langkah kerajaan memberi perlindungan kepada industri tempatan daripada persaingan pasaran luar negara supaya industri tempatan dapat berkembang dengan sihat.

      Bentuk perlindungan perdagangan meliputi tarif import, kuota, kawalan pertukaran asing dan pemberian subsidi eksport.

      Bagaimanakah kadar pertukaran mata wang asing ditentukan dalam sistem kadar pertukaran boleh ubah? --- [6]

      Kadar pertukaran mata wang asing dalam sistem kadar pertukaran boleh ubah ditentukan melalui interaksi antara permintaan dengan penawaran mata wang asing di pasaran.


      Rajah di atas menunjukkan kadar pertukaran antara Ringgit Malaysia dengan Dolar Amerika Syarikat. Keseimbangan dicapai pada titik E apabila keluk permintaan Dolar US (DD) bersilang dengan keluk penawaran Dolar US (SS) pada kadar pertukaran US$1.00 = RM3.60.

      Andaikan kadar pertukaran meningkat menjadi US$1.00 = RM3.80. Ini bermakna Ringgit Malaysia mengalami susut nilai. Ini menyebabkan wujud lebihan penawaran Dolar US sebanyak Q2Q1 di pasaran. Lebihan penawaran Dolar US menyebabkan kadar pertukaran turun sehingga mencapai keseimbangan semula pada titik E apabila DD = SS pada kadar pertukaran US$1.00 = RM3.60.

      Andaikan kadar pertukaran turun menjadi US$1.00=RM3.40. Ini bermakna Ringgit Malaysia mengalami naik nilai. Ini menyebabkan wujud lebihan permintaan Dolar US sebanyak Q2Q1 di pasaran. Lebihan permintaan Dolar US menyebabkan kadar pertukaran naik sehingga mencapai keseimbangan semula pada titik E apabila DD = SS pada kadar pertukaran US$1.00 = RM3.60.

      (a) Apakah maksud globalisasi?..........[2]
      (b) Terangkan dua faedah yang dapat dinikmati sesebuah negara daripada globalisasi...........[4]


      (a) Globalisasi ialah peningkatan salingan bergantungan antara negara-negara dari segi ekonomi, sosial dan politik. Globalisasi melibatkan aktiviti pengaliran barang dan perkhidmatan, wang dan modal di peringkat antarabangsa.

      (b) Dua faedah yang dapat dinikmati oleh sesebuah negara daripada globalisasi ialah:
      Pilihan pengguna bertambah
      Globalisasi menyebabkan kemasukan barang import yang semakin meluas di pasaran. Keadaan ini menyebabkan pilihan pengguna semakin bertambah. Mereka dapat membeli barang import di dalam negara tanpa perlu mendapatkan barang tersebut dari pasaran luar negara. Persaingan antara pengeluar di pasaran akan menggalakkan pengeluar untuk meningkatkan kualiti barang yang dikeluarkan. Ini akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

      Harga barang lebih murah
      Kemasukan barang import yang semakin meluas di pasaran menggalakkan persaingan harga yang semakin sengit di kalangan pengeluar barang yang sama. Keadaan ini menyebabkan barang tersebut akan dijual pada harga yang lebih rendah di pasaran. Harga barang yang lebih rendah akan menguntungkan pengguna kerana kuasa beli mereka meningkat.

      Definisi Globalisasi

      Globalisasi ialah peningkatan saling bergantungan antara sebuah negara dengan negara lain, terutama dari segi ekonomi sehingga mewujudkan satu pasaran ekonomi dunia yang tidak dihadkan oleh sempadan negara.

      Melalui globalisasi, apa yang berlaku di sesebuah negara akan mempengaruhi keadaan politik, ekonomi dan sosial negara lain.

      Faktor-Faktor Menggalakkan Globalisasi

      Kemajuan Sistem Komunikasi

      Penggunaan alat komunikasi yang canggih seperti faksimile, telesidang dan internet telah membolehkan negara-negara di dunia memperoleh maklumat perdagangan dan ekonomi dengan cepat dan tepat. Ini seterunya telah melicinkan kegiatan perdagangan antara negara tanpa dibataskan oleh jarak dan sempadan.

      Pengurangan sekatan perdagangan

      Pengurangan sekatan perdagangan antara negara telah meningkatkan liberalisasi perdagangan dan memudahkan proses pembentukan perjanjian perdagangan pelbagai hala bagi memanfaatkan ekonomi negara masing-masing. Kesannya, kegiatan perdagangan dapat dijalankan dengan lebih lancar.

      Kemajuan sistem pengangkutan

      Kemajuan sistem pengangkutan, misalnya pembinaan jalan raya yang lebih baik dan pengangkutan udara yang meliputi kawasan yang lebih luas telah memudahkan pengangkutan barang dan faktor pengeluaran dari sebuah negara ke negara lain. Pengurangan kos pengeluaran yang dinikmati daripada penjimatan masa pengangkutan seterusnya menggalakkan kegiatan perdagangan antara negara di dunia.

    makroekomnomi bab 5


    Objektif Pembelajaran Bab 5

    1. Mendefinisikan pengangguran, menjelaskan jenis, sebab, kesan, dan langkah mengatasinya.
    2. Menerangkan dan menghitung guna tenaga, tenaga buruh, dan kadar pengangguran di Malaysia.
    3. Mendefinisikan inflasi, menjelaskan jenis, kesan, dan cara mengatasinya.
    4. Menerangkan indeks harga di Malaysia dan cara menghitung kadar inflasi Malaysia.
    5. Menerangkan kesan dasar fiskal dengan menggunakan pendekatan Keynesian dan AD-AS.
    6. Menghuraikan bagaimana dasar kewangan digunakan untuk mengatasi masalah makroekonomi.
    7. Menerangkan belanjawan negara Malaysia dan data belanjawan tersebut.
    8. Menerangkan hutang negara Malaysia dari segi sumber, jumlah semasa dan arah aliran.

      Jenis-Jenis Pengangguran

      Pengangguran didefinisikan sebagai satu keadaan apabila individu-individu yang boleh bekerja dan ingin bekerja pada satu tingkat upah tertentu gagal mendapat sebarang pekerjaan.

      Pengangguran dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti pengangguran bermusim, pengangguran tidak ketara dan pengangguran kitaran.

      Pengangguran Bermusim

      Penganguran bermusim hanya berlaku pada masa-masa tertentu sahaja dan cenderung wujud dalam sektor utama seperti sektor pertanian dan sektor perikanan.

      Misalnya, semasa musim tengkujuh, para nelayan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tidak dapat keluar ke laut untuk menangkap ikan. Oleh itu, mereka terpaksa menganggur sehingga musim tengkujuh berakhir.

      Pengangguran Tidak Ketara

      Pengangguran tidak ketara juga dikenali sebagai pengangguran tersembunnyi. Pengangguran ini biasanya berlaku dalam sektor pertanian.

      Pengangguran tidak ketara berlaku apabila bilangan pekerja yang diambil bekerja dalam sesuatu sektor melebihi bilangan pekerja yang sebenarnya diperlukan. Lebihan pekerja yang ada tidak menyumbang kepada tingkat pengeluaran. Dalam erti kata lain, lebihan pekerja ini sebenarnya mempunyai daya pengeluaran sut sama dengan kosong.

      Pengangguran Kitaran

      Pengangguran kitaran wujud disebabkan perubahan yang berlaku dalam sesuatu kitaran ekonomi. Sesebuah ekonomi mungkin melambung pada mulanya, meleset dan kemudiannya melambung semual. Ekonomi mengalami kemelesetan apabila perbelanjaan agregat jatuh. Kejatuhan perbelanjaan agregat menyebabkan pengusaha-pengusaha mengurangkan permintaan terhadap tenaga buruh akibat kemerosotan pengeluaran dalam ekonomi. Pengurangan permintaan terhadap tenaga buruh secara berterusan akan menyebabkan pengangguran berlaku dalam ekonomi.

      Penstabil Automatik

      Penstabil automatik merupakan beberapa bentuk perbelanjaan dan pendapatan kerajaan yang digunakan untuk mengurangkan turun naik aktiviti ekonomi negara. Semasa kemelesetan ekonomi, alat penstabil automatik akan digunakan untuk mengurangkan kadar kemerosotan ekonomi. Sebaliknya, semasa pertumbuhan ekonomi, alat penstabil automatik akan digunakan untuk melambatkan perkembangan ekonomi.

      Misalnya, semasa pertumbuhan ekonomi, cukai pendapatan progresif akan dikenakan oleh kerajaan akan mengurangkan pendapatan boleh guna penduduk. Pengurangan pendapatan boleh guna mengurangkan penggunaan dan perbelanjaan agregat dalam ekonomi. Kesannya, kadar pertumbuhan ekonomi akan menjadi perlahan.

      Cukai Progresif

      Definisi
      Cukai progresif ialah kadar cukai yang meningkat apabila pendapatan negara meningkat.

      Cukai Progresif Sebagai Penstabil Automatik
      Cukai progresif dapat menstabilkan ekonomi kerana ia merupakan penstabil automatik.

      Apabila pendapatan meningkat, hasil cukai yang meningkat akan memperlahankan perkembangan ekonomi.

      Sebaliknya, apabila pendapatan berkurangan, hasil cukai yang merosot akan memperlahankan penguncupan ekonomi yang lebih teruk.

      Cukai Regresif

      Definisi
      Cukai regresif ialah kadar cukai yang menurun apabila pendapatan negara meningkat.

      Cukai Regresif Bukan Penstabil Automatik
      Cukai regresif tidak dapat menstabilkan ekonomi.

      Sebaliknya, cukai regresif menyebabkan kemerosotan ekonomi yang lebih teruk dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dalam keadaan ekonomi melambung.

      Dasa Fiskal Budi Bicara

      Dasa Fiskal Budi Bicara ialah dasar yang mengubah cukai dan perbelanjaan kerajaan untuk mempengaruhi kegiatan ekonomi negara. Dasar ini dijalankan untuk mengatasi masalah inflasi dan deflasi dalam ekonomi.

      Misalnya, semasa inflasi, kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan menambahkan kadar cukai untuk mengurangkan perbelanjaan agregat dalam ekonomi.

      Perbelanjaan Mengurus

      Perbelanjaan mengurus ialah perbelanjaan semasa kerajaan atau perbelanjaan berulang kerajaan bagi membiayai pengurusan dan pentadbiran negara.

      Ini termasuk perbelanjaan untuk gaji (emolumen) kakitangan awam, bayaran khidmat hutang, pencen dan ganjaran, pemberian subsidi kepada pengeluar dan pengguna, dan pemberian dan serahan kepada Kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun.

      Perbelanjaan mengurus kerajaan tidak bergantung pada tingkat pendapatan negara. Walaupun pendapatan negara meningkat atau merosot, perbelanjaan mengurus kerajaan masih tetap sama.

      Perbelanjaan Pembangunan

      Perbelanjaan pembangunan ialah perbelanjaan yang dilibatkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial negara.

      Perbelanjaan pembangunan meliputi perbelanjaan membina sekolah, lapangan terbang, dan menyediakan infrastruktur.

      Biasanya, tingkat perbelanjaan pembangunan kerajaan bergantung pada keadaan ekonomi negara. Apabila ekonomi mengalami kemelesetan, kerajaan akan menambahkan jumlah perbelanjaan pembangunan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

      Terangkan tiga langkah bagaimana dasar kewangan dapat mengatasi masalah inflasi dalam sesebuah ekonomi---[6]

      Langkah-langkah dasar kewangan untuk mengatasi masalah inflasi adalah dengan mengurangkan penawaran wang dan menaikkan kadar bunga di pasaran. Tiga daripadanya ialah:

      Menaikkan nisbah rizab berkanun
      Semasa inflasi, bank pusat akan menaikkan nisbah rizab berkanun terhadap simpanan bank perdagangan di bank pusat. Ini menyebabkan keupayaan bank perdagangan untuk memberi pinjaman berkurang. Kuasa beli masyarakat akan berkurang dan permintaan agregat masyarakat turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

      Menaikkan kadar bank atau kadar diskaun
      Semasa inflasi, bank pusat akan menaikkan kadar bank terhadap pinjaman yang diberikan kepada bank perdagangan. Apabila bank pusat menaikkan kadar bank, ini akan menyebabkan bank perdagangan menaikkan kadar bunga terhadap pinjaman orang ramai. Kadar bunga yang tinggi menyebabkan kos meminjam meningkat dan pinjaman akan berkurang. Perbelanjaan isi rumah turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

      Menjual surat jaminan kerajaan
      Semasa inflasi, bank pusat akan menjual surat jaminan kerajaan kepada bank perdagangan dan orang ramai. Ini akan menyebabkan penawaran wang berkurang dalam masyarakat. Kuasa beli masyarakat akan berkurang dan permintaan agregat masyarakat turut berkurang. Maka, inflasi dapat diatasi.

      Terangkan Tiga Cara Bagaimana Dasar Kewangan Dapat Mengatasi Masalah Pengangguran………[6]

      Tiga cara bagaimana dasar kewangan dapat mengatasi masalah pengangguran ialah:

      Menurunkan nisbah rizab berkanun
      Semasa pengangguran, bank pusat akan menurunkan nisbah rizab berkanun terhadap simpanan yang dibuat oleh bank perdagangan. Ini akan menyebabkan keupayaan bank untuk memberi pinjaman meningkat. Kuasa beli masyarakat meningkat dan peluang pekerjaan turut meningkat untuk memenuhi permintaan agregat masyarakat. Maka, pengangguran akan berkurang.

      Menurunkan kadar bank atau kadar diskaun
      Semasa pengangguran, bank pusat akan menurunkan kadar bank terhadap bank perdagangan. Kadar bank merupakan kadar bunga yang dikenakan oleh bank pusat terhadap pinjaman bank perdagangan. Apabila bank pusat menurunkan kadar bank, ini akan menyebabkan pelaburan bank perdagangan menurunkan kadar bunga terhadap pinjaman orang ramai. Kadar bunga yang rendah menyebabkan pelaburan meningkat. Ini menyebabkan peluang pekerjaan meningkat dan pengangguran akan berkurang.

      Membeli surat jaminan kerajaan
      Semasa pengangguran, bank pusat akan membeli surat jaminan kerajaan daripada bank perdagangan dan orang ramai. Ini akan menyebabkan penawaran wang bertambah dalam masyarakat. Kuasa beli masyarakat meningkat dan peluang pekerjaan turut meningkat untuk memenuhi permintaan agregat masyarakat. Maka, pengangguran akan berkurang.